KETUA Penaja Srikandi Bersatu Sarawak, Hajah Siti Sarah Udin
KETUA Penaja Srikandi Bersatu Sarawak, Hajah Siti Sarah Udin 

Menurut Ketua Penaja Srikandi Bersatu Sarawak, Hajah Siti Sara Udin, ketika ini Sarawak masih ketinggalan dalam melahirkan usahawan wanita dan menjadi fokus parti itu untuk memastikan golongan wanita tidak terus tercicir.

“Setakat ini usaha yang dilakukan kerajaan negeri masih belum mencukupi tetapi kami tetap berterima kasih dengan apa yang telah dilakukan.

“Namun kami sangat berharap agar usaha meningkatkan taraf usahawan wanita di negeri ini dapat terus diperkasakan dan Srikandi Bersatu negeri komited untuk mengangkat agenda ini sebagai fokus utama parti.

Beliau berkata demikian dalam satu perjumpaan sesi penerangan Srikandi Bersatu Sarawak baru-baru ini.

Turut berlangsung pada majlis itu adalah pelancaran Persatuan Usahawan Wanita Anak Sarawak (PUWAS) sebagai antara komitmen Bersatu Sarawak mengangkat agenda memperkasa golongan wanita di negeri itu.

Ujar Siti Sara lagi, sehingga kini seramai 2,202 ahli yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan telah berdaftar dengan persatuan itu.

Mereka ini katanya akan dilatih untuk berdikari dan diharapkan lebih ramai ahli akan menyertainya sebelum hujung tahun ini.

Ujarnya lagi, kami sangat berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang komited membantu usahawan wanita di negeri ini.

“Banyak bantuan yang disalurkan kepada kami melalui kerjasama dengan agensi di bawah MED antaranya Tekun yang memberi geran sebagai bantuan membuka perniagaan.

“Ahli pula paling ramai dari luar bandar terutama di Bintulu, Kota Samarahan, Ulu Rejang dan Julau.

“Sebagai Penyelaras Bersatu Sarawak banyak telah dilakukan Mohd Redzuan dan saya percaya pelbagai lagi usaha dan program akan dibawa dalam meningkatkan taraf wanita di negeri ini.

“Ini juga sebagai menyahut seruan Mohd Redzuan sendiri yang mahu melahirkan 50,000 usahawan setahun di Malaysia.

“Kami di Sarawak mahu melahirkan seramai 20,000 orang usahawan atau 40% daripada jumlah yang disasar kementerian, maka penubuhan PUWAS sangat bertepatan dengan agenda ini,” kata Siti Sara lagi. - UTUSAN ONLINE