Menurut sumber, Datuk Saiful Nizam Mohd. Yusoff yang juga suami Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Difahamkan sesi mengambil keterangan membabitkan Saiful Nizam sudah selesai pada pukul 1 petang tadi namun, sehingga kini proses mengambil keterangan Ahmad Zahid masih belum selesai.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu tiba di ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 9.16 pagi untuk memberi keterangan manakala, Nurulhidayah tiba berasingan pada pukul 9.22 pagi.

Ini merupakan kali keempat Ahmad Zahid memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana membabitkan yayasan milik keluarganya itu.

Semalam Ahmad Zahid telah memberi keterangan selama lapan jam kepada suruhanjaya itu selain dipanggil untuk kali pertama dan kedua pada 2 dan 3 Julai lalu.

Sebelum ini, Ahmad Zahid merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk melalui akaun laman twitter memaklumkan beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membantu siasatan.- UTUSAN ONLINE