Pengerusinya, Siow Koi Voon berkata, tafsiran itu penting bagi menentukan sama ada perbuatan Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng memberi kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan Rantau, baru-baru ini adalah satu kesalahan di bawah akta itu.

Katanya, tafsiran itu termasuk sama ada penerima faedah secara tidak langsung juga termasuk dalam senarai kesalahan itu.

“Walaupun memberikan bantuan makanan kepada orang miskin adalah perbuatan terpuji dan patut dicontohi oleh semua orang, pemilihan masa untuk melakukannya perlu ditentukan sama ada ia adalah satu kesalahan mengikut akta tersebut.

“Ini kerana, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan diadakan dalam tempoh masa terdekat,” katanya sidang akhbar di Bilik Gerakan MCA bagi PRK itu di pekan Rantau di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda MCA Bahagian Rembau, Yong Chien Huang.

Seksyen 8 AKP memperuntukkan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, apa-apa wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.

Koi Voon menegaskan, MCA negeri ini memandang serius perbuatan Dr. Michael itu memandangkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK itu, Dr. S. Streram turut hadir pada majlis berkenaan.

Jelasnya, Biro Undang-Undang parti itu sedang menulis laporan mengenai isu itu dan akan diserahkan kepada SPR dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Koi Voon juga mendesak SPR memberi penjelasan terhadap dua isu yang hampir sama berlaku semasa PRK Parlimen Port Dickson hujung tahun lalu dan Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini.

“Semasa PRK Port Dickson, isu pemberian tuisyen percuma telah dibangkitkan manakala pemberian petrol percuma telah didedahkan semasa PRK Cameron Highlands.

“Sehingga kini, belum ada apa-apa maklum balas daripada SPR,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE