Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, sejajar dengan itu SPR ingin menarik perhatian para majikan yang masih meneruskan operasi mereka pada hari mengundi supaya memberi tempoh yang munasabah kepada pengundi-pengundi yang bekerja dengan mereka untuk keluar mengundi.

Katanya, subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan seperti yang berikut:

“25. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu”,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tegas beliau, mjikan yang tidak membenarkan pekerjanya yang menjadi pemilih untuk keluar mengundi boleh didenda sebanyak lima ribu ringgit (RM5000) atau satu tahun penjara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subsekyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam hal ini juga, katanya, SPR juga turut menyeru serta menggalakkan pihak majikan untuk menggunakan budi bicara bagi memberikan cuti khas atau pelepasan sewajarnya kepada pekerja-pekerja mereka yang dilantik sebagai Petugas Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

“Berhubung pelaksanaan pilihan raya pada 9 Mei itu juga, SPR menegaskan bahawa ketetapan itu bukanlah suatu perkara yang baharu kerana rekod PRU sebelum ini menunjukkan bahawa ia telah beberapa kali diadakan pada hari bekerja iaitu pada PRU-1 (1959), PRU Ke-6 (1982), PRU Ke-9 (1995) dan PRU Ke-10 (1999).

“Maka dengan pengumuman cuti umum ini ia sewajarnya tidak dijadikan isu. Malah, pemakluman awal berkenaan tarikh PRU-14 ini juga membolehkan para pengundi mempunyai masa yang secukupnya untuk merancang perjalanan dan sebagainya,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE