Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun memaklumkan, selaras Perkara LVI (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, pihaknya dikehendaki mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut setelah menerima perakuan daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai pembatalan keputusan pilihan raya DUN Rantau pada 26 Februari lalu.

Katanya, jangka masa 60 hari itu akan berakhir pada 26 April ini.

“Bagi menguruskan penjalanan pilihan raya, SPR dikehendaki mengeluarkan writ pilihan raya tidak kurang empat hari dan tidak lebih 10 hari dari tarikh kekosongan yang disahkan oleh SPR selaras dengan Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1956.

“Sehubungan itu, SPR dalam perkara ini telah mengambil kira semua jangka masa ditetapkan oleh perundangan dan telah membuat mesyuarat khas pada 6 Mac bagi menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Azhar menambah, SPR juga membuat persiapan bagi menghadapi PRK DUN Semenyih yang telah diadakan pada 2 Mac lalu, justeru itu penentuan tarikh pilihan raya di DUN Rantau ditetapkan mengikut kesesuaian setelah mengambil kira semua faktor berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya menekankan bahawa semua peruntukan undang-undang telah dipatuhi oleh SPR di samping ingin memberi jaminan bahawa semua tindakan tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik ataupun kecenderungan fahaman politik.

“SPR memandang serius dakwaan Mohamed seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media dengan beliau dilaporkan mendakwa bahawa SPR melewatkan hari penamaan calon untuk mengurangkan momentum kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

“SPR menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana sebagai satu institusi Perlembagaan yang mana ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, badan ini sentiasa menunaikan tanggungjawab dan amanahnya dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak di dalam mana-mana pilihan raya,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu, menolak permohonan Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 membabitkan kerusi DUN Rantau adalah terbatal dan tidak sah.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen difailkan calon PKR, Dr. S. Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat SPR.

Dr. Streram, 63, memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Dr. Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dalam petisyennya, diikuti Pegawai Pilihan Raya, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga. – UTUSAN ONLINE