PUTRAJAYA 12 Sept. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Port Dickson berikutan perletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah hari ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK).
"Kita akan bincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, tarikh mesyuarat khas tersebut akan dimaklumkan kelak.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Danyal bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan seterusnya menjadi Perdan Menteri Kelapan. - UTUSAN ONLINE