Penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri kepada Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak mustahil kerana Skuad Sayang Kebangsaan sudah memulakan langkah pantas dalam memacu perubahan, melonjakkan momentum perjuangan, sekali gus memenangi semula hati dan jiwa rakyat.

“Perubahan iklim politik kini semakin sukar diramal dan tidak menentu aturannya. Kita tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan sedia ada.

“Saya pasti di hadapan kita masih ada gelombang yang lebih besar. Kita perlu bersedia untuk melakukan kerja-kerja yang lebih mantap dan berkesan di jiwa rakyat,” katanya ketika memberi ucapan pada Majlis Tahunan Bersama Penaung Skuad Sayang Kebangsaan Tahun 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini hari ini.

Majlis yang dianjurkan kali ke-8 itu dihadiri lebih 1,500 anggota Skuad Sayang dari seluruh negara.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd. Dun serta Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO merangkap Penolong Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan, Datuk Rosni Sohar.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, dengan perkembangan sosial masa kini, Skuad Sayang juga perlu memperluaskan skop kebajikannya di negara ini agar mencakupi aspek modal insan.

Sementara itu, Shahrizat berkata, semua ahli Skuad Sa­yang Kebangsaan digalakkan untuk terus menggalas tanggungjawab dalam berkhid­mat kepada masyarakat dengan secara konsisten dan bukannya bermusim.