DMJ berharap cadangan tersebut tidak terlalu menekan peminjam dan dalam masa yang sama PTPTN dapat mengutip balik hutang mereka selain mencadangkan agar memperkenalkan kembali insentif yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memberikan diskaun kepada peminjam.

“Sebagai contoh, pada Bajet 2018, antara diskaun yang diberikan adalah diskaun 20 peratus kepada mereka yang melangsaikan semua baki hutang, diskaun 10 peratus kepada mereka yang melangsaikan sekurangnya 50peratus baki hutang dan diskaun 10 peratus kepada mereka yang membuat potongan gaji.

“Struktur diskaun ini juga boleh diperbaiki dengan memberikan diskaun kepada Ijazah Kelas Kedua Atas dan Ijazah Kelas Kedua Bawah. Diskaun-diskaun ini dipercayai mampu meringankan beban graduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DMJ juga berpendapat PTPTN perlu mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenal semula pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pemegang ijazah kelas pertama yang ditarik balik semasa PH mengambil alih kerajaan.

DMJ percaya inisiatif itu akan memberikan semangat kepada mahasiswa untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dan memberikan peluang kepada mereka yang tidak mendapat sebarang biasiswa pendidikan.

“Dalam Bajet 2019, kerajaan PH memberikan diskaun kepada pelajar kelas pertama daripada kumpulan B40 sahaja dan tiada pengecualian pembayaran seperti sebelum tahun 2018,” katanya.

DMJ menerima baik cadangan pemotongan gaji berdasarkan income based repayment (IBR), cuma peratusan yang akan dipotong tersebut perlu dikaji sedalam-dalamnya agar tidak membebankan dan perlu dibuat selepas gaji peminjam melepasi RM4,000 seperti janji manifesto PH.

DMJ berharap agar program Konsultasi Rakyat yang sedang berjalan itu mampu mencari titik penyelesaian masalah kewangan dan aliran tunai yang sedang melanda PTPTN kerana kos hutangnya sehingga kini dilaporkan sebanyak RM40 Billion yang turut dijamin kerajaan. - UTUSAN ONLINE