Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengalaman PRK Sungai Kandis dan Seri Setia telah menunjukkan hubungan di antara parti pembangkang semakin meningkat.

Beliau berkata, Pas tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan jenteranya dengan lebih tersusun di PRK Port Dickson bagi membantu calon pembangkang.

“Dalam negara demokrasi boleh bertanding dan letak jawatan. kita tidak boleh halang siapa nak bertanding atau letak jawatan. Kita anggap itu peluang untuk mengadakan latihan bersama.

“Kalau tentera boleh buat latihan bersama antara negara. Maka pilihan raya boleh buat latihan bersama di antara parti-parti ppembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Nasional DHPP kali pertama di Dewan Auditorium Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad; Pengerusi DHPP Pusat, S. Balasubramaniam dan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr. Bala Chandran.

Abdul Hadi berkata, beliau percaya hubungan di antara parti pembangkang akan terus meningkat berdasarkan dua perkara PRK sebelum ini.

“Pengalaman Sungai Kandis dan Seri Setia itu menjadi satu pengalaman yang baik dan kerjasama yang sangat meningkat, kalau Sungai Kandis kita masuk gear satu, Seri Setia kita sudah gear tiga.

“Dan Port Dickson akan meningkat lagi, saya tak tahu yang nak bertanding itu berani atau tidak,” katanya. - UTUSAN ONLINE