Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun komposisi pengundi pelbagai kaum seimbang tetapi rakyat tetap membuat pilihan yang bijak.

“Tahniah Datuk Seri Mohamad Hasan yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Rantau.

“Kemenangan ini adalah manifestasi pilihan rakyat yang ingin menuntut kerajaan menunaikan manifesto yang telah dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi serta jentera Pas khususnya Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang komited membantu kempen calon BN.

Katanya, kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkempen baru-baru ini juga berjaya menarik lautan hadirin dengan pidato beliau yang bernas.

“Inilah formula penyatuan ummah yang dinantikan rakyat selama ini,” katanya.

PRK DUN Rantau semalam menyaksikan Mohamad berjaya memperoleh sebanyak 10, 397 undi sekali gus menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu memperoleh 5,887 undi. - UTUSAN ONLINE