Ketua Pemudanya, Mohd Arriff Abdul Majid mendakwa, siasatan itu perlu dilakukan ekoran terdapat kenyataan meragukan oleh kerajaan negeri sebaik kes tersebut didedahkan kepada umum, baru-baru ini.

"Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyebut kelulusan pemberian tanah hutan itu dibuat kerana kerajaan negeri yakin dengan kerjasama syarikat tersebut dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), namun, ia telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh lembaga berkenaan.

"MTIB dalam kenyataannya kepada media pada 15 Februari lalu menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah berhubung atau mempunyai sebarang ikatan kerjasama dengan syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis tersebut di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini yang turut dihadiri lebih 20 ahli Pemuda UMNO Perak.

Mohd Arriff turut mempersoalkan bagaimana syarikat berkenaan yang baru ditubuhkan dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan modal berbayar sebanyak RM2, boleh tiba-tiba meningkat sehingga RM500,000 sebaik sahaja isu berkenaan dilaporkan oleh pihak media.

Sehubungan itu katanya, laporan polis pada hari ini dibuat supaya pihak berkuasa dapat menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menjadikan khazanah hutan di Perak sebagai habuan politik.

"Hal ini juga bagi memastikan integriti kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak dicemari dengan unsur-unsur rasuah serta penyalahgunaan kuasa,"katanya. - UTUSAN ONLINE