Laporan itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Juwahir Amin di Balai Polis Simpang Renggam dekat Kluang pada pukul 2 petang tadi.

Yang turut hadir lebih 50 individu termasuk Naib Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Faizul Hakim Ahmad, Setiausahanya, Abdul Hadi Harun,

Yang Dipertua Pas Simpang Renggam, Ilias Ithnin, Ketua Pemuda Pas Simpang Renggam, Mohamad Firdaus Adnan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd. Faizal Mohd. Said.

Juwahir berkata, penerimaan dana asing itu dipercayai berlaku secara sulit, menyalahi integriti dan undang-undang di mana mempunyai tujuan politik yang boleh mendatangkan ancaman terhadap kedaulatan, keselamatan serta kepentingan negara.

“Justeru, kami meminta polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) melakukan siasatan ke atas DAP kerana dakwaan itu telah tular dalam media sosial sejak beberapa tahun ini, namun tiada tindakan tuntas pihak berkuasa untuk menyiasat,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, beliau berharap tiada campur tangan politik dalam siasatan kes berkenaan kerana pihaknya mahu perkara tersebut disiasat dengan telus bagi mengetahui sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya. - UTUSAN ONLINE