Tidak seperti sebelum ini, pe­milihan parti kali ini ‘lebih meriah’ apabila ramai yang menawarkan diri dengan membawa harapan besar mahu me­lakukan transformasi drastik selepas menerima tamparan hebat daripada rakyat.

Bermula dengan pemilihan sayap, yang paling mencuri tumpuan ialah jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan sembilan calon menawarkan diri mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Khairy Jamaluddin.

Daripada sembilan calon itu, tiga dikatakan sebagai ‘pilihan’ untuk mengemudi sayap parti keramat itu termasuk Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Senator Khairul Azwan Harun dan Mohd. Shahar Abdullah.

Antara ketiga-tiga mereka, Khairul Azwan dilihat sebagai berpotensi dipilih, mengambil kira beliau merupakan Naib Ke­tua Pemuda UMNO dan lahir daripada kilang Pemuda sendiri.

Namun begitu, Asyraf Wajdi dilihat mampu memberi saingan sengit berdasarkan reaksi positif diterima Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu selepas menawarkan diri, selain latar belakang beliau yang cenderung ke arah keagamaan.

Selain Ketua Pemuda, jawatan Naib Ketua Pemuda juga menyak­sikan pertembungan sembilan penjuru dengan Shahril Sufian Hamdan dilihat sebagai pilihan. Jawatan exco pula memperlihatkan 184 individu menawarkan diri sebagai calon.

Bagi jawatan Ketua Wanita, hanya tiga calon yang menawarkan diri dengan salah seorangnya pernah memimpin sayap tersebut iaitu Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

Dua lagi calon ialah Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd. Dun dan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Walaupun Siti Zaharah berpengalaman memimpin sayap itu, namun Noraini dianggap sebagai pilihan menggantikan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang mengumumkan tidak menawarkan diri.

Noraini dilihat mampu memberi nafas baharu kepada Wanita yang sebelum ini disifatkan sebagai tulang belakang parti.

Selain itu, Noraini merupakan Ahli Parlimen berpengalaman yang sebelum ini terbukti membawa suara wanita di Dewan Rakyat.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita, empat calon menawarkan diri untuk bertanding dengan salah seorangnya ialah Ketua Penera­ngan Wanita, Datuk Rosni Zahari. Bagi jawatan Exco pergerakan pula, seramai 81 calon menawarkan diri.

Jawatan Ketua Puteri pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Naib Ketua Pu­teri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dengan Exco pergerakan tersebut, Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Zahida yang sebelum ini lebih banyak dibayangi oleh penyandang Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilihat banyak pihak sebagai pilihan utama untuk dilantik ke jawatan itu.

Jawatan Naib Ketua Puteri memperlihatkan persaingan yang lebih sengit apabila lima calon menawarkan diri, manakala 71 calon pula bertanding merebut jawatan exco.

Apa pun percaturan dan pilihan ahli UMNO dalam memilih kepemimpinan ini, yang pasti ialah tugas berat menanti setiap ketua sayap untuk bukan sahaja merencanakan kebangkitan, tetapi pada masa sama mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO.