Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, Shu Qi seolah-olah mahu mengundang kemarahan umat Islam di negara ini dan keratan majalah 'suatu masa dulu' yang digunakan sebagai bahan ceramahnya turut didakwa berniat jahat untuk membentuk persepsi buruk kaum Cina terhadap orang Islam.

Katanya, selaku Ahli Parlimen yang menandatangani sumpah jawatan dan setia, perbuatan Shu Qi sama sekali telah melanggar ikrar untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan negara.

"Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO negeri menggesa Ahli Parlimen Kluang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dan/atau (c) Akta Hasutan 1948 atas kesalahan mengeluarkan kata-kata yang menghasut dan menerbitkan atau mengeluarkan semula bahan-bahan/penerbitan yang bersifat menghasut.

"Beliau seharusnya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana sengaja mengkhianati Perlembagaan yang menjunjung kedaulatan perpaduan semua bangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Shu Qi dalam sebuah majlis dialog dengan Persatuan Tiong Hwa di Kluang didakwa melakukan pembentangan menggunakan slaid bagi menerangkan tulisan Jawi digunakan untuk menulis pelbagai jenis bahan bacaan termasuk kitab Kristian dan bahan pornografi sekalingus tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja.

Tengku Haphiz berkata, tindakan Shu Qi mencerminkan sikapnya yang tidak amanah dan sensitif terhadap rakyat Malaysia berbilang kaum yang telah mengundi beliau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Beliau dengan nada sinis turut menyatakan masyarakat Islam pasti menolak tulisan Jawi kerana telah menghina agama Islam dengan penggunaanya di tempat yang tidak sepatutnya.

"Persoalannya kenapa Yang Berhormat Kluang bersungguh-sungguh mencetuskan api kemarahan umat Islam di negara ini sedangkan umum mengetahui tulisan Jawi dahulunya digunakan secara meluas sebagai tulisan rasmi Tanah Melayu," katanya.

Tengku Haphiz memberi contoh, masyarakat lama kaum Tionghoa di Kampung Tiruk di negeri ini cukup mahir membaca makalah bertulisan Jawi bahkan, mampu menulisnya jadi, untuk mengaitkan tulisan Jawi adalah milik sepenuhnya orang Islam adalah tidak tepat kerana ia merupakan warisan turun temurun komuniti Tanah Melayu pada masa itu. - UTUSAN ONLINE