Bekas Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri itu berkata, keputusan tersebut bagi memberi ruang kepada muka baharu dan pelapis untuk mentadbir serta memimpin UMNO bahagian berkenaan.

Beliau berkata, langkah tersebut juga bagi menyuburkan proses pemeremajaan dalam UMNO dengan menggabungkan kepemimpinan di pelbagai peringkat usia.

"Sudah agak terlalu lama, walau prestasi tidak seburuk mana tetapi jangka masa ini membolehkan saya berfikir dan menyerahkan baton kepemimpinan," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas UMNO Bahagian Raub di sini hari ini.

Shahirudin berkata, rata-rata kepemimpinan dan Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian Raub akur serta faham dengan penjelasan yang diberikan beliau untuk berundur dan tidak mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian itu.

Beliau yang menamakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram sebagai calon paling sesuai menggantikannya yakin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam itu sudah cukup matang dan bersedia untuk menggalas peranan serta tanggungjawab memimpin bahagian berkenaan.

"Saya akan tetap menyumbang dan membantu UMNO terutama Bahagian Raub dari luar. Caranya mungkin berbeza tetapi hasratnya tetap sama iaitu demi agama, bangsa dan negara," katanya. - UTUSAN ONLINE