Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah di sini hari ini.

“Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri (Shahidan) turut akan memegang jawatan Pengerusi BN. Perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat ini. Pelantikan itu adalah bagi melancarkan perjalanan parti,” katanya.

Baru-baru ini, Shahidan berharap agar jawatan Pengerusi UMNO dan BN negeri dapat diselaraskan bagi melancarkan urusan parti.

Ahli Parlimen Arau itu dilaporkan berkata, kedua-dua jawatan tersebut perlu dipegang oleh individu yang sama seperti mana ketika beliau menjadi Menteri Besar dahulu.

Pengerusi BN Perlis sebelum ini disandang oleh Azlan yang juga Menteri Besar.

Situasi di Perlis ini dilihat agak janggal apabila lazimnya mana-mana individu yang memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut akan menjawat jawatan Pengerusi BN.

Sementara itu, Shahidan berkata, penyelarasan jawatan Pengerusi UMNO dan BN negeri itu akan memudahkan perjalanan urusan parti.

“Dulu saya bawa UMNO menang pilihan raya 2008, orang lain jadi Menteri Besar, 2013 dan 2018 juga sama. Saya dah penat melihat situasi ini. Tapi parti janji akan buat pembaharuan supaya adil,” katanya.- UTUSAN ONLINE