Majlis perasmian persidangan itu disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dibuat serentak kira-kira pukul 2.30 petang.

Sebanyak 403 perwakilan Wanita, 198 (Pemuda) dan 204 (Puteri) menghadiri persidangan sayap berkenaan.

Ahmad Shabery dalam ucapannya berkata, sebelum menjadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH) menabur pelbagai janji antaranya akan menurunkan harga minyak kepada RM1.50, hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan hutang peneroka FELDA yang sehingga kini belum tertunai.

“Janji dalam manifesto yang mereka berjaya buktikan adalah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), didapati harga barang bukannya makin murah tetapi semakin mahal.

“Segala peruntukan yang pernah dibantu oleh kerajaan Barisan Nasional kini tiada lagi, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) dan diturunkan jumlah pendapatan isi rumah membuatkan ramai rakyat sengsara,” katanya.

Menurutnya, jika dahulu orang muda menolak UMNO dan Barisan Nasional tetapi hari ini orang muda telah sedar dan mereka merasakan tertipu dengan janji-janji manis PH.

Katanya, rakyat khususnya Melayu kena terima lanskap politik baharu iaitu Melayu dan Islam mesti bersatu dan wadah ini hanya ada pada UMNO dan Pas.

“ Pertandingan hanya dua penjuru, jika berlaku pertandingan lebih dari dua penjuru ia akan merugikan orang Melayu dan Islam. Pas dan UMNO kena tengok, di mana kerusi Pas kuat, UMNO kena bagi Pas bertanding dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE