Herwadey Hashim, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memberi atau mereka-reka keterangan palsu dengan maksud hendak menyebabkan (atau mengetahui mungkin bahawa) Sarina Kasim, 34, yang bekerja di sebuah syarikat swasta disabitkan dengan kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengikut undang-undang boleh dihukum gantung sampai mati.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 11.30 pagi, 29 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 194 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun tahun dan denda.

Sekiranya seseorang yang tidak bersalah disabitkan dan dihukum bunuh disebabkan keterangan palsu itu, maka orang yang memberi keterangan palsu itu
hendaklah diseksa sama ada dengan bunuh atau dengan seksaan yang tersebut dahulu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta pasport diserahkan ke mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 15 November ini. - UTUSAN ONLINE