Bagi penduduk di kawasan Parlimen Arau khususnya Pauh, nama Saad yang lebih mesra dipanggil Pak Ad itu sinonim sebagai penyokong kuat UMNO malah boleh diibaratkan jika ditoreh badannya pasti ‘mengalir darah pekat UMNO’.

Itu cerita Pak Ad dari Kampung Guring Tengah di sini yang mula menjadi ahli UMNO sejak parti itu ditubuhkan pada 1946 termasuk mengundi kesemua 14 kali pilihan raya.

Ketika ada ahli yang meninggalkan bahtera parti termasuk segelintir pemimpin selepas UMNO atau Barisan Nasional (BN) kalah buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun bagi Pak Ad, dia memilih untuk setia dengan parti keramat orang Melayu itu sehingga akhir hayat.

Pak Ad ketika ditemui berkata, dia tidak pernah ketinggalan menghadiri persidangan atau program-program UMNO sejak dahulu

Katanya, kesetiaannya pada UMNO yang disertai sejak 1946 tidak akan pernah berubah meskipun parti itu berhadapan dengan pelbagai dugaan sejak akhir-akhir ini.

“Biar ada dalam kalangan mereka meninggalkan UMNO namun saya akan tetap kekal di dalam bahtera ini. Saya yakin UMNO akan kembali bangkit pada PRU-15 bersama Pas,” katanya.

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Arau itu disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Madhzir Khalid yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.- UTUSAN ONLINE