ANNUAR MUSA

Ketua Pene­ra­ngan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, selagi pimpinan setia kepada paksi perjuangan selagi itulah ahli dan akar umbi perlu bekerja keras untuk menyokongnya menjalankan tanggungjawab kepada rak­yat dan negara.

“Pemimpin jangan dibiar­kan berseorangan, pemim­pin takkan hebat tanpa kita semua, pemimpin takkan mampu jalankan tanggungjawab tanpa kita yang setia iaitu setia berpaksikan kepada perjuangan, bukan setia kepada individu.

“Saya adalah orang yang setia kepada (Tun) Dr. Mahathir Mohamad selama beliau setia kepada UMNO, be­gitu juga saya setia kepada Tengku Razaleigh (Hamzah) dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tetapi apabila mereka tidak setia kepada parti maka putuslah kesetiaan itu.

“Berbahagialah kerana kita dalam satu saf perjua­ngan yang menyempurnakan fardu kifayah untuk membentuk kerajaan. Melalui kerajaan yang dibangunkan bersama, kita dapat mengecapi nikmat kemerdekaan, nikmat Islam serta nikmat hidup pelbagai kaum,” katanya semasa me­nyampaikan pidato khas di Majlis Ramah Mesra Bersama Orghe Parlime Terre (OPT) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut melancarkan video ‘Ketereh Koridor Ilmu, Rakyat Bersatu, Ketereh Maju’.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Penera­ngan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Terdahulu, ketibaan Ahmad Zahid disambut dan diiringi 1,000 anak muda yang berkonvoi membawa bendera serta panji-panji menaiki 30 motosikal berkuasa tinggi dan 500 motosikal lain.

Pada majlis itu juga, Ahmad Zahid telah menyampaikan anugerah dan penghargaan kepada tokoh-tokoh berjasa kelahiran tempatan mewakili pelbagai bidang termasuk pendidikan, agama, usahawan, budaya, perajurit dan perubatan tradisional.