HARMIZAN ABD. HALIM
HARMIZAN ABD. HALIM 

Ketua Pemuda UMNO negeri, Harmizan Abd. Halim berkata, segala janji ‘bulan dan bintang’ oleh kerajaan PH terhadap golongan muda khususnya, hanya tinggal angan-angan meskipun sudah setahun memerintah.

Katanya, sekarang apabila mendapat kuasa, PH bukan sahaja tidak membela golongan muda ini sebaliknya mengerah mereka membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebelum ini dijanjikan penangguhan bayaran bagi individu yang bergaji di bawah RM4,000.

“Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, anak muda pasti tersenyum dengan kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi Kerajaan PH telah mengurangkan bantuan tersebut menerusi Bantuan Sara Hidup (BSH),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Harmizan, selain golongan muda, para petani, penoreh, nelayan dan pekebun kecil sudah pastinya antara yang terkesan selepas perubahan kerajaan kerana segala manfaat serta bantuan yang dinikmati sebelum ini mula dipotong atau dikecilkan.

Sementara itu, beliau berkata, banyak janji yang ditabur semasa kempen PRU-14 tidak dipenuhi oleh PH selepas setahun mentadbir negara. - UTUSAN ONLINE