Ketuanya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, apa yang utama ialah mereka akan terus istiqamah melaksanakan pelbagai program bagi membantu mereka yang memerlukan sepanjang masa dan bukannya secara bermusim.

Menurut beliau, semua program yang dilaksanakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu bersifat go & touch dan bukannya touch & go seperti amalan sesetengah pihak.

“Tetapi telah menjadi tradisi kami sejak dulu untuk tidak mendabik dada atas kemajuan serta pembangunan yang dibawa ke Kepala Batas bagi meneruskan legasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Kami juga sentiasa meraikan demokrasi, jadi dalam PRU-14, rakyat di Kepala Batas sendiri akan menentukan siapa yang akan mereka undi,” katanya yang juga bekas ahli Parlimen kawasan itu di sini hari ini.

Difahamkan, gabungan pembangkang PKR akan meletakkan calon PAN untuk bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas selain turut akan ditentang calon Pas.

Reezal Merican ditemui selepas meninjau beberapa rumah yang dilanda ribut petang semalam di beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri Bertam dan Penaga.

Sebanyak 25 rumah terjejas da­lam kejadian ribut dengan kawasan Permatang Manggis di sini mengalami kerosakan paling teruk.

Kerja-kerja baik pulih rumah­ yang terjejas dijangka siap dalam tempoh dua hari dengan kerja-kerja pembaikan bermula hari ini oleh kontraktor yang dilantik Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, seorang mang­sa, Ahmad Najib Fathil, 50, berkata, ketika kejadian ribut pada pukul 5 petang semalam, dia dan isteri serta seorang anaknya tiada di rumah.

“Ketika kejadian hujan lebat dan angin memang kuat yang datang dari arah bendang sehingga menerbangkan hampir keseluruhan bumbung rumah saya.

“Akibatnya air bertakung di dalam rumah dan beberapa pera­bot rosak menyebabkan kami tiga beranak terpaksa berlindung di kedai saya buat seketika sehingga kerja pembaikan selesai,” ujar­nya.