Terbaharu, seakan-akan menggunakan skrip yang sama seperti pilihan raya yang lalu, berita tentang kemasukan pengundi hantu dari Bangladesh mula disebarkan oleh beberapa blog dan akaun media sosial.

Ketua Perwira Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azlan Abu Bakar berpendapat, kerajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah digubal untuk membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

“Akta ini mampu menyelamatkan rakyat daripada terpedaya dengan maklumat tidak sahih yang menyukarkan mereka untuk membuat pilihan terbaik dalam PRU-14 nanti.

“Selain itu, parti-parti politik juga perlu mengamalkan cara kempen yang sihat dan tidak menggunakan maklumat palsu untuk menjatuhkan pihak lawan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah laman blog telah memuat naik sebuah artikel dengan tajuk ‘Pesawat Terbesar Dunia Bawa 60,000 Pengundi Bangladesh Mendarat di KLIA’ dan artikel tersebut disebarkan secara meluas di media sosial.

Sebagai respons terhadap artikel tersebut, laman Sebenarnya.my telah menjelaskan bahawa pesawat tersebut merupakan pesawat kargo gergasi milik UKraine yang dikenali sebagai Antonov An-225 Mriya yang berfungsi untuk menghantar kargo berat, bukan untuk membawa mana-mana pengundi hantu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Petaling Jaya Utara, Azizul Amar Rahmat pula berpandangan, masyarakat terutamanya golongan belia perlu lebih berhati-hati menerima maklumat supaya tidak tertipu dengan dakwaan-dakwaan palsu yang cuba disebarkan.

Kata beliau, terdapat sebahagian masyarakat yang dengan mudah menyebarkan berita yang mereka sendiri tidak pasti kesahihannya kerana tidak mahu membuat pemeriksaan lanjut.

“Masyarakat sukakan berita sensasi yang boleh menarik minat mereka. Malangnya kesahihan berita tersebut tidak diperiksa, malah terus sahaja disebar tanpa diteliti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE