Beliau berkata, keputusan yang dibuat beliau untuk bertanding jawatan kedua tertinggi parti itu dibuat berdasarkan komitmen besar beliau untuk mengembalikan kegemilangan UMNO.

“Insya-Allah saya akan cuba (mengembalikan kegemilangan UMNO) kalau diberikan mandat dengan segala pengalaman saya dalam dunia korporat dan mentadbir negeri, rekod lalu menjelaskan segala-galanya,” katanya ketika ditemui dalam majlis perjumpaan khas UMNO di Dewan Tun Razak, Temerloh hari ini.

Yang hadir sama Naib Pre­siden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO ne­geri, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Mohamad berkata, meskipun ramai calon bertanding dalam pemilihan kali ini, beliau menaruh keyakinan itu tidak akan membawa perpecahan kepada UMNO.

Katanya, lebih membanggakan apabila proses pemilihan kali ini dilaksanakan dengan tersusun melibatkan majlis memper­kenalkan diri di setiap negeri.

“Alhamdulillah saya berasa sukacita kerana melihat pertan­dingan kali ini amat mesra, tidak ada berpasukan, masing-masing serahkan kepada semua ahli UMNO untuk membuat pemilihan siapa yang mereka fikir boleh memberi kekuatan semula kepada UMNO, memperbaiki imej dan prestasi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu seorang lagi calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menaruh kebimbangan berlakunya perpecahan ekoran ramai calon bertanding, menyerahkan kepada perwakilan membuat pilihan terbaik.

“Saya gembira sahaja dalam pertandingan ini dan tidak timbul yakin atau tidak kerana saya cuma hendak menawarkan diri dan terserah kepada perwakilan,” ujarnya.