Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penganjuran program seumpama itu yang diadakan sebelum ini diharap tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

“Tidak boleh buat (program atas nama parti politik dalam kawasan masjid dan surau). Perkara itu juga tidak sesuai diadakan setelah menerima titah Tuanku Sultan.

“Kita telah pun menyatakan komitmen untuk menjunjung titah berkenaan, jadi saya berharap perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Pembungkusan dan Penyerahan Juadah Raya Aidilfitri kepada pasukan beruniform bagi tahun 2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas program berbuka puasa yang dihadiri Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming di Masjid Asaadah, Kampung Bahagia Hilir Perak pada 17 Mei lalu.

Pada majlis yang tidak mendapat persetujuan dan kebenaran jawatankuasa majis itu, Kor Ming telah menyampaikan sumbangan dan berucap dalam kawasan masjid berkenaan.

Mengulas mengenai program tersebut yang masih diteruskan walaupun tidak dipersetujui pengerusi dan majoriti ahli jawatankuasa masjid, beliau berkata, tindakan telah pun diambil oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berhubung perkara itu.

“Saya dapati, satu tindakan telah dibuat oleh JAIPk dan kita patuhi tindakan yang telah diambil itu,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menggalakkan mana-mana wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Namun sekiranya sumbangan itu diadakan di dalam kawasan masjid dan surau, ia sama sekali tidak boleh menggunakan logo parti dan berucap mewakili diri sebagai ahli politik,” katanya. - UTUSAN ONLINE