Kerajaan Negeri Selangor akan mengumumkan satu projek besar untuk penduduk Semenyih tidak lama lagi sebagai komitmen kerajaan negeri terhadap kese­jahteraan penduduk di sini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pengumuman itu bagaimanapun tidak boleh dilakukan sekarang bagi menjaga etika pilihan raya.

Katanya, sepatutnya pe­ngumuman itu dilakukan pada minggu lalu, tetapi bertembung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Tunggu announcement (pe­ngumuman). Saya tak nak nanti ada orang kata ada kaitan de­ngan pilihan raya.

“Sepatutnya memang minggu lepas, tetapi kita tak boleh teruskan sebab kita nak jaga etika dan perilaku kita ketika kempen. Ia berkenaan rakyat yang mampu memiliki rumah yg selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching di sini, semalam.

Tambah Amirudin, Semenyih tidak pernah terkeluar daripada senarai perancangan pembangunan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri itu juga sedang mempertimbangkan membawa kemudahan bas percuma, Smart Selangor ke Semenyih bagi memastikan sistem perhubungan di sini lebih sistematik dan cekap.

Ketika ditanya mengenai masalah masyarakat Orang Asli di Semenyih, Amirudin memberitahu, pihaknya berusaha untuk menanganinya.

Jelasnya, masalah utama Orang Asli di sini adalah tentang penggazetan kawasan-kawasan rayau dan tempat tinggal mereka namun, ia bukan perkara mudah untuk ditangani.

“Ada sebahagiannya bersilang atau bertindih dengan beberapa agensi dan syarikat-syarikat sebelumnya. Ia bukan perkara yang mudah,” ujarnya.