Timbalan Presiden I Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Izzat Ebrahim berkata, bagaimanapun program tersebut akan diadakan di lokasi lain iaitu di Cartel Coffee Shop, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, dekat sini, kira-kira pukul 2.30 petang ini.

“Program ini tetap akan diteruskan tetapi dipindahkan di lokasi iaitu di luar kawasan UKM.

“Kita menghormati kehadiran beliau (Najib) kerana telah datang ke sini dan kita akan teruskan bagi memenuhi hak kebebasan bersuara khususnya pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Semalam, Naib Canselor UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd. Shukor berkata, program yang dijadualkan diadakan petang ini akan ditunda pada tarikh lain.

Dalam pada itu, Mohammad Izzat menzahirkan perasaan terkilan terhadap pengurusan UKM kerana menunda program tersebut tanpa alasan yang kukuh.

“Mereka dakwa program ini tidak mendapat kelulusan sedangkan surat kelulusan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) UKM telah diberikan kepada kami pada Jumaat lepas.

“Kami telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan untuk menganjurkan program ini, malah ia dilaksanakan secara intelektual dan buat dalam bentuk provokasi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE