Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail sebaliknya meminta supaya Dr. Mahathir bermuhasabah diri dan melihat kembali bahawa masalah yang berlaku di negara ini sebilangan besarnya adalah berpunca daripada pentadbiran beliau sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

"Dr. Mahathir tidak perlu berbohong untuk mencari undi kononnya masalah negara boleh selesai dalam tempoh dua tahun jika Pakatan Harapan jadi kerajaan manakala beliau jadi Perdana Menteri sementara.

"Sedarkah beliau bahawa masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika ini datangnya semasa zaman pemerintahannya sebelum ini. Masa beliau jadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir difahamkan tidak pernah melaksanakan dasar gaji minimum, rakyat pula dikenakan tol menerusi dasar penswastaan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tionghua di Sungai Air Tawar, di sini hari ini.

Tambah Rizam, berbanding pentadbiran negara di bawah Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri ketika ini, banyak inisiatif disediakan oleh kerajaan untuk rakyat dari segi peluang ekonomi, perumahan, bantuan kewangan dan sebagainya.

Malah, Najib merupakan Perdana Menteri yang melaksanakan langkah pemansuhan kutipan tol yang selama ini ditangung oleh rakyat.

"Saya fikir Dr. Mahathir ini hanya mahukan kuasa sahaja, bukannya memikirkan soal rakyat. Partinya sendiri PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), nak bahagi kerusi dengan PKR, DAP dan PAN pun tak selesai-selesai," ujarnya.

Rabu lalu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPM itu dilapor mendakwa boleh menyelesaikan masalah negara dalam tempoh dua tahun berdasarkan pengalamannnya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri. - UTUSAN ONLINE