Kemuncaknya selepas pilihan raya umum 2008 ialah usaha dikenali Projek 16 September untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan kemudian membina kerajaan baharu dengan Anwar sebagai perdana menteri.

Beberapa tahun selepas itu, tokoh pembangkang berkarisma ini ditonjolkan pula dalam Langkah Kajang untuk meletakkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.
 Sepanjang 20 tahun selepas tercetus gempa politik 1998 yang melahirkan Parti Keadilan Nasional yang kemudian dikenali sebagai PKR selepas bergabung dengan sebuah parti berhaluan kiri, isunya masih lagi tentang jawatan perdana menteri.

Sekarang, segala penderitaan rakyat yang dijadikan modal politik menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 tenggelam ditelan kisah-kisah sensasi sekitar perebutan kuasa antara dua kem utama dalam gabungan parti pemerintah hari ini.

Cerita seperti yang disaksikan pada masa ini lebih mudah menarik minat ramai orang sama ada yang menjadi pencandu politik atau meminati berita sensasi.

Tetapi apa yang jelas, terbukti para pemegang kuasa dan perebut kuasa yang memenangi mandat rakyat lebih setahun lalu lebih berminat dengan kuasa. Dua pemimpin yang menjadi pemain utama lebih 20 tahun lalu muncul sekali lagi di tengah-tengah medan, bersaing untuk mengukuhkan kuasa masing-masing.

Segala kejadian yang berlaku menjadi bukti nyata bahawa motivasi yang mendasari persaingan merebut kuasa ini ialah kekuasaan dengan kepentingan dan kebajikan rakyat dijadikan ayat-ayat memujuk dan membeli kepercayaan.
 Sekiranya diperhatikan dengan jujur, pasti dapat dilihat betapa besarnya persoalan kuasa bagi kelompok yang baharu menguasai pentadbiran negara ini.

Sebahagian besar tenaga mereka kini ditumpukan pada persaingan kuasa yang nampaknya menjadi penentu hidup dan mati bagi mereka kerana siapa yang dapat atau kekal menjadi perdana menteri akan terus hidup manakala yang gagal akan ‘mati’ atau ‘dimatikan.’

Begitu banyak laporan daripada akademik hingga kepada media dan agensi berkaitan kewangan dan perniagaan telah mendedahkan keadaan ekonomi negara yang menjadi lebih buruk berbanding semasa di bawah kerajaan lama yang didakwa menjadi punca segala masalah kewangan negara dan rakyat.

Isu paling asas seperti harga barangan, kos sara hidup melibatkan bahan bakar kenderaan dan tol, tidak menjadi lebih baik berbanding semasa kerajaan lama. Inilah kemarahan rakyat yang paling utama dimanipulasi untuk membenci kerajaan sebelum ini.

Pertembungan antara kem-kem dalam parti pemerintah sekarang ialah yang paling terbuka dan sengit sejak mereka mencapai kemenangan dan menubuhkan kerajaan di Putrajaya lebih setahun lalu.
Pertembungan ini bermakna tenaga dan tumpuan mereka akan semakin berkurangan diberikan kepada usaha memenuhi janji membela rakyat yang mereka ucapkan dahulu.

Memang sesuatu yang normal bagi ahli politik meletakkan karier dan masa depan politik mereka pada keutamaan teratas, jauh mengatasi keperluan rakyat apatah lagi apabila persaingan kuasa semakin sengit.

Sama ada mereka semakin hampir mencapai matlamat kuasa atau sedang sibuk mempertahankan kuasa daripada diragut pihak lawan, kedua-dua keadaan ini meletakkan ahli politik dalam kesibukan yang luar biasa.
 Maka ini menjawab sendiri, apakah agenda paling utama bagi orang politik dalam keadaan ini, kuasa mereka atau kebajikan rakyat dan negara?

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.