Beliau yang tidak terkejut dengan perkembangan itu berkata, kisah wakil-wakil rakyat tersebut untuk melompat parti bukanlah perkara baharu tetapi sudah berlegar-legar sejak dahulu lagi.

"Jadi, apa lagi yang boleh saya katakan melainkan mengucapkan selamat maju jaya kerana saya tidak tahu apa motif mereka memasuki Bersatu kerana sesuatu tindakan dalam politik, mesti bermotifkan sesuatu.

"Adakah ini saatnya apabila mereka bangun pagi dan terus membenci UMNO, atau sebab menderita sebagai pembangkang atau pun sanggup tinggalkan pengundi (semata-mata) untuk menyayangi Bersatu dan Tun Dr. Mahathir Mohamad," soalnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, enam bekas Ahli Parlimen UMNO menyerahkan borang permohonan untuk memasuki Bersatu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Menurut Johari, masih terlalu awal untuk 'meneka' motif kemasukan enam bekas wakil rakyat UMNO itu secara sekali gus, kerana sehingga kini tiada kenyataan daripada kesemua mereka.

Ditanya sama ada beliau menyokong tindakan tersebut, Johari berkata: "Hendak sokong pun tidak". - UTUSAN ONLINE