Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau tidak akan berputus asa dengan perjuangan itu dalam memastikan peranan golongan wanita di negara ini benar-benar diiktiraf dan dihargai.

Menurut beliau, perkara itu mengambil kira sumbangan golongan wanita di negara ini sebagai contoh penglibatan dalam sayap politik UMNO yang mana pergerakan itu kini didukung oleh ahli berdaftar seramai kira-kira 1.4 juta orang.

“Ini adalah satu jumlah yang besar dan menggerunkan lawan.

“Dengan kekuatan ahli seramai inilah, Wanita terus melakar satu demi satu pencapaian, melalui gerak kerja berimpak tinggi,” katanya dalam ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Shahrizat, dengan kekuatan jentera paling besar dalam mana-mana sayap politik di dunia itu, Wanita UMNO kekal menjadi benteng terkuat dalam memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya umum.

Malah, beliau turut berikrar, Wanita akan tetap bersama-sama Pemuda dan Puteri serta parti komponen BN yang lain sebagai pencari, penentu, perayu, pengekal serta pemecah undi ketika diperlukan.

“Sokongan akar umbi hari ini juga amat luar biasa, paling kuat dalam sejarah. Dengan kekuatan inilah, kita akan berhadapan pilihan raya yang paling hebat dalam sejarah iaitu Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Janji Wanita, UMNO dan BN tidak akan pernah gugur,” kata­nya.