Penegasan tersebut menjelaskan komitmen Mohd. Shafie untuk terus bersama parti keramat itu walaupun kebelakangan ini me­nerima kritikan daripada pihak tertentu termasuk ‘rakan’ dalam UMNO kerana tindakannya yang dilihat mereka sebagai bertentangan dengan parti.

Ahli Parlimen Semporna itu juga menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mengatakan bahawa parti itu tidak bagus, sebaliknya menyifatkan UMNO baik sebagai sebuah parti.

“Cuma kadang-kadang pengawal, pentadbir dalam UMNO perlu dipertingkatkan supaya kebaikan dapat dirasai oleh semua pengikut parti ini.

“Ada pelbagai tafsiran yang dibuat terhadap saya kononnya akan mengetuai USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu), tetapi itu tidak betul.

“Itu hanya cara mereka mahu ‘buang’ saya. Saya masih UMNO, saya masih seorang ahli dan Naib Presiden parti. Kalau mahu jawatan saya ini, ambillah, adakan pemilihan, tahun ini pun tiada masalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan perasmian Dewan Terbuka Kampung Selinggit dekat sini hari ini.

Dalam lawatan kerjanya hari ini, Mohd. Shafie turut merasmikan bangunan memproses ketam serta gelanggang futsal di Kampung Tundun dan mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang surat daripada jawatankuasa tatatertib parti, Mohd. Shafie memberitahu bahawa beliau tidak menerima sebarang surat.

“Saya tidak langgar apa-apa undang-undang atau Perlembagaan parti. Seperti hari ini, saya sendiri minta ahli-ahli akar umbi di sini supaya terus bersama UMNO, saya tidak minta mereka tinggalkan parti,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai kenya­taan pihak tertentu bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengikut telunjuk pihak pembangkang apabila sanggup duduk semeja dengan mereka untuk menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd. Shafie berfikiran sebalik­nya.

“Daripada apa yang saya lihat pembangkang yang ikut Dr. Mahathir. Walaupun saya tahu ada pihak yang menggelar beliau pengkhianat parti dan bangsa tetapi itu tafsiran masing-masing.

“Bagi saya tidak perlu kita gelar mana-mana pihak sebegitu kerana mereka ada hak dan kebebasan,” ujar beliau.