Walaupun tidak dilantik semula bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri itu akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

“Saya reda dengan situasi ini jika dibandingkan dengan perbuatan mengkhianat dalam menjaga kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini sebentar tadi.

Mazlan yang merupakan Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor merupakan seorang daripada ADUN yang namanya digugurkan dalam barisan Exco baharu selain daripada ADUN Skudai, Tan Hong Pin.

Hari ini 10 Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu mengangkat sumpah dan tiga antaranya muka baharu iaitu ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi, 69, ADUN Tenang, Mohd. Solihan Badri, 62, dan ADUN Jementah, Tan Cheng Choon, 49.

Mengulas lanjut, Mazlan mengakui dirinya bukan ‘ahli pasukan’ Menteri Besar baharu, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Sementara itu, Hong Ping berkata, kesemua barisan Exco baharu perlu diberikan masa bagi memahami portfolio masing-masing serta menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya kini bukanlah lagi seorang daripada barisan Exco, tumpuan harus diberikan kepada barisan Exco baharu yang dipertanggungjawabkan.

“Apa pun, orang baharu perlukan masa untuk memahami dan mengambil tahu portfolio masing-masing. Saya kira mereka perlu diberi masa sedikit sebelum dinilai,” katanya. - UTUSAN ONLINE