Namun beliau pada yang sama turut menghormati sebarang keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan bersedia untuk memulangkan darjah berkenaan sekiranya diminta berbuat demikian.

MELAKA 17 Okt 2018 Tey Kok Kiew menjawab soalan petugas media
 

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri turut memohon maaf kepada Mohd. Khalil berikutan penganugerahan darjah tersebut sehingga dilihat boleh mencemarkan imej negeri ini.

“Saya ingin melafazkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada pimpinan tertinggi negeri iaitu Tun Mohd. Khalil dan saya menghormati institusi raja-raja Melayu seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya juga mengambil maklum dan akur keputusan kepemimpinan DAP Pusat bahawa semua kepemimpinan parti tidak boleh menerima apa-apa anugerah pingat dan darjah kebesaran sewaktu berkhidmat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat beliau di Banda Hilir di sini hari ini.

Kok Kiew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banda Hilir serta ADUN Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin adalah dua pemimpin DAP negeri yang dianugerahkan DMSM sempena sambutan ulang tahun ke-80 Mohd. Khalil pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun isu berkenaan menjadi kontroversi apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka yang membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat.

Kok Kiew dalam pada itu memohon secara terbuka agar pimpinan DAP Pusat bukan sahaja memaklumkan kepada ahli dan kepemimpinan DAP berhubung prinsip parti itu malah memaklumkan juga kepada kepemimpinan tertinggi negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, sultan, raja dan Yang Dipertua negeri.

Mengulas lanjut, beliau telah menghubungi empat kepemimpinan atasan DAP termasuk Guan Eng dan Anthony Loke Siew Fook sejak 8 Oktober lalu bagi mendapatkan pandangan serta nasihat berhubung isu penganuge­rahan darjah kebesaran tersebut.