Menurutnya, dalam sistem demokrasi, rakyat adalah bos manakala pemimpin dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat maka adalah tidak wajar jika benar ada pemimpin yang mengugut rakyat.

"Saya bantah kalau ada ugutan sebab dalam demokrasi rakyat adalah bos bermakna kerajaan tidak boleh mengugut rakyat dan seperti yang pernah saya katakan rakyat tidak boleh takut dengan kerajaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Koo Ham bagaimana pun berkata, berdasarkan rakaman video ucapan Bob Manolan dalam program bersama Orang Asli, didapati tiada ugutan.

"Beliau hanya kata kerana jawatan Tok Batin adalah satu jawatan yang dilantik oleh kerajaan, maka mereka yang dilantik ini mestilah ikut polisi kerajaan," katanya.

Bob Manolan dikecam kerana didakwa berkata tok batin di kawasan Cameron Highlands tidak akan dibayar sekiranya tidak menyokong PH dalam satu program bersama Orang Asli di sini baru-baru ini.

Bagaimana pun beliau menafikan dakwaan tersebut dan menganggap laporan oleh portal Malaysiakini satu bentuk salah tafsir terhadap kenyataannya. - UTUSAN ONLINE