Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gagasan Parti Sarawak (GPS) berkata, dasar kerajaan negeri menyokong dan menjalin kerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan di bawah PH adalah atas kepentingan rakyat negeri ini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri tetap akan membantah dan tidak bersetuju dengan mana-masa keputusan atau dasar kerajaan Pusat yang tidak menguntungkan Sarawak.

"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu pada Ramadan lalu, saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya dan pertemuan antara kami berlangsung dalam suasana mesra seperti ayah dan anak.

"Kami bercakap tentang hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Saya menyatakan bahawa kerajaan Sarawak akan sokong dan bekerjasama dengan Pusat serta parti-parti komponen dalam PH demi kepentingan rakyat.

"Setakat ini, hubungan kita berjalan lancar dan masing-masing bersikap terbuka meskipun pertama kali dalam sejarah kerajaan negeri dan Pusat berbeza kepimpinan, bukan lagi di bawah Barisan Nasional (BN)," ujarnya dalam sesi soal jawab sempena Majlis Minum Petang Bersama Media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, disebabkan sikap bertolak-ansur, maka kerajaan negeri tidak mendesak kerajaan Pusat melaksanakan beberapa projek yang tertangguh ketika ini, bagi memberi masa kepada kerajaan baharu itu membuat penilaian semula.

Ditanya adakah kerajaan negeri berdepan dengan cabaran lebih besar untuk menuntut hak Sarawak di bawah PH berbanding BN, Abang Johari menegaskan, isu itu tidak timbul kerana tuntutan adalah berdasarkan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengenai tawaran baharu PH Sarawak tentang royalti minyak dan gas pula, beliau berkata, beliau enggan melayan tawaran itu kerana ia dibuat oleh parti bukannya daripada kerajaan Pusat atau Kabinet Persekutuan.

"Bagi kita (kerajaan Sarawak), kita kekal dengan tuntutan untuk mendapatkan royalti 20 peratus daripada pengeluaran bukannya keuntungan bersih.

"Sekarang, kita serahkan kepada syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mewakili kerajaan Sarawak untuk berbincang tentang tuntutan ini.

"Kedua-dua syarikat ini mempunyai pakar dalam bidang minyak dan gas. Mereka akan mencari penyelesaian untuk diserahkan kepada kerajaan Persekutuan nanti. Politik tidak sesuai masuk campur dalam isu ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE