Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak menuntut agar pembayaran royalti perlu mengikut perjanjian yang dimeterai berasaskan pengeluaran minyak dan gas.

Katanya, sebelum ini, kerajaan Persekutuan hanya memperuntukkan pembayaran 5 peratus royalti minyak kepada Sarawak dan kerajaan negeri melalui kerajaan terdahulu menuntut agar pembayaran royalti itu dinaikkan kepada 20 peratus.

“Sekarang, kita masih menunggu keputusan rasmi kerajaan Pusat sama ada pembayaran royalti dijanjikam dibayar berdasarkan pengeluaran minyak dan gas atau keuntungan bersih.

“Kalau berdasarkan keuntungan memang kita tidak bersetuju dan kekal kepada tuntutan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari turut mengakui menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri di pejabatnya di sini semalam.

Katanya, dalam pertemuan itu, pihaknya ada membincangkan tentang kaedah pembayaran royalti yang dituntut oleh kedua-dua negeri yang merupakan antara pengeluar minyak dan gas di negara ini.

“Beliau (Ahmad) ada menghubungi saya terlebih dahulu dan menyatakan hasrat mahu bertemu. Saya mengalu-alukan kedatangannya,” katanya.

Pertemuan tidak dirancang itu dibuat secara tertutup dan hanya diketahui oleh media selepas Ahmad memuat naik status dan gambar mengenainya di laman Facebook semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, memaklumkan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan akan memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar sumber itu. - UTUSAN ONLINE