Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli kedua negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, kementeriannya bersama agensi perhutanan seperti Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Harwood Timber Sdn. Bhd. (Harwood Timber) sedang dalam proses mengkaji semula dasar-dasar berkaitan perhutanan dan industri perkayuan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dam Usahawan negeri berkata, usaha itu bertujuan memastikan dasar-dasar tersebut mengambil kira perkembangan semasa dan dapat memberi faedah yang lebih optimum kepada Sarawak.

“Sarawak telah lama mengamalkan sistem pengurusan hutan secara mampan. Sebagai langkah memperkasakan sistem pengurusan hutan di kawasan ‘Jantung Borneo’, kerajaan negeri pada 2015 telah mengarahkan semua pemilik lesen pembalakan jangka panjang di kawasan itu wajib mendapatkan persijilan pengurusan hutan.

“Bagi kawasan di luar `Jantung Borneo’, kerajaan negeri juga mewajibkan pelesen pembalakan jangka panjang agar mendapatkan persijilan pengurusan hutan menjelang 2022,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Penggal Ke-18 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, sebanyak 23 Unit Pengurusan Hutan (FMU) telah mengemukakan Pelan Pengurusan Hutan kepada kerajaan negeri setakat ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sembilan Pelan Pengurusan Hutan telah diluluskan, manakala enam FMU sudah melalui pelbagai peringkat auditan.

Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu, bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, terdapat 44 kes pembalakan haram telah disiasat membabitkan rampasan balak sebanyak 6,697 meter padu dengan nilai royalti berjumlah RM435,287.

“Daripada jumlah tersebut, satu kes telah selesai didakwa di mahkamah, manakala 26 kes tiada suspek, 17 kes masih dalam siasatan dan empat pesalah telah dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan memiliki hasil hutan secara haram.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 144 kes pembalakan haram telah dikesan membabitkan rampasan balak berjumlah 18,114 meter padu dengan nilai royaltinya RM1.17 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE