Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri, Shahrum Mohd. Sharif berkata, penegasan SPRM itu merupakan satu langkah penting untuk memastikan sistem politik serta tadbir urus di negara ini berada ditahap yang terbaik sekaligus memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Katanya, BN Selangor tidak mempunyai sebarang masalah dalam mematuhi saranan SPRM itu kerana sudah menjadi amalan pihaknya yang meletakkan soal integriti sebagai syarat utama dalam memilih mana-mana individu untuk mewakili parti itu dalam pilihan raya.

“Apa yang ditegaskan SPRM itu kita amat bersetuju yang mana ia mampu meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap sistem politik demokrasi di negara ini. Malah, di peringkat BN Selangor sendiri kita telah pun mengamalkan saranan SPRM itu.

“Ini kerana dalam BN negeri, seseorang individu bukan sahaja perlu berkhidmat serta diterima baik oleh masyarakat tempatan sebagai syarat untuk menjadi calon. Tetapi mereka perlu bebas daripada isu muflis termasuklah tidak terpalit dalam mana-mana salah laku termasuk rasuah, “ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan akan mengheret pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan walaupun selepas mereka memenangi PRU-14.

Malah, beliau turut mengingatkan parti-parti politik agar tidak meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih kerana pihaknya pasti akan bertindak selepas pilihan raya nanti. - UTUSAN ONLINE