MOHD. PUAD ZARKASHI

Malah, Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi percaya bahawa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak yakin untuk bertanding atas logo PPBM yang didakwa tidak mempunyai kekuatan akar umbi, khususnya da­lam kala­ngan orang Melayu.

Katanya, Dr. Mahathir juga perlu menjawab persoalan sama ada segala masalah dalaman yang timbul termasuk Mesyuarat Agung PPBM adalah disengajakan supaya membolehkan beliau menggunakan logo DAP dalam PRU-14.

“Sehingga ke hari ini tidak ada sebarang usaha konkrit daripada pengurusan PPBM untuk menyelesaikan masalah dalaman parti kecuali berulang kali menjadikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai ‘kam­bing hitam’.

“Sebab itu Dr. Mahathir perlu tampil dan beri penjelasan sama ada benar bahawa pihak pengurusan PPBM sengaja buat masalah dengan ROS sebagai alasan untuk bertanding atas tiket DAP,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dilaporkan akan bertanding atas tiket DAP jika parti diketuai­nya gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran daripada ROS.

Tambah Mohd. Puad, meman­dangkan PPBM mempunyai tempoh beberapa minggu sahaja lagi sebelum pembubaran Parlimen, Dr. Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir hampir pasti akan bertanding menggunakan logo DAP.

“Ini terbukti apabila parti ber­kenaan gagal mengadakan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian kerana tidak cukup orang untuk mengadakannya. Inilah punca kenapa PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunannya. Tidak mungkin PPBM mampu mengadakannya semula dalam tempoh yang singkat ini,” katanya.