Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, majlis yang akan berlangsung di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari pukul 11 pagi hingga 3 petang itu bakal menjadi sambutan Aidilfitri terbesar parti yang telah membuktikan kejayaan memerintah negara selama 60 tahun.

“Kepemimpinan tertinggi parti ingin mengecapi nikmat kemakmuran negara dan keceriaan bersama rakyat berbilang kaum menerusi sambutan rumah terbuka ini.

“Pada majlis ini juga, ma­syarakat boleh mengenali dan beramah mesra dengan kepemimpinan tertinggi UMNO selain bergambar bersama tokoh-to­koh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan ter­akhir majlis tersebut di sini hari ini.

Jelas Ab. Rauf, 13 negeri yang terlibat membuka Food Pavilion dalam majlis tersebut juga akan mengadakan persembahan kebudayaan dari negeri masing-masing untuk menghiburkan para tetamu.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, orang ramai yang berhasrat hadir dalam majlis tersebut dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam se­perti Transit Aliran Ringan (LRT) atau berkongsi kenderaan bagi memudahkan perjalanan masing-masing selain menge­lakkan ke­sesakan lalu lintas.