Salahudin Ayub
Salahudin

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, beliau ketika ini hanya menunggu peluang dan perkenan baginda untuk menghadap serta akan menjelaskan segala-galanya kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Menerusi ucapan yang saya berikan itu hanya menyentuh mengenai kebajikan sesama manusia, berbuat baik sesama manusia dan langsung tidak menyentuh isu-isu politik atau mengata orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen di Padang Awam Bukit Indah di sini petang tadi.

Sejak malam tadi tular satu video rakaman berdurasi 45 saat yang mendakwa Salahuddin menyampaikan ceramah berbaur politik sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Kolam Ayer di bandar raya ini semalam.

Malah video itu turut dikongsi seorang pengguna dalam Twitter rasmi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memohon putera raja tersebut menegur tindakan dilakukan menteri berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai boleh menilai kandungan ucapannya itu iaitu kira-kira 10 minit menerusi video yang tular itu sama ada berunsur politik atau sebaliknya.

Terdahulu ketika dihuhungi, beliau menafikan dirinya ada memberi ceramah berbaur politik dalam masjid itu seperti didakwa seorang individu dalam laman Twitter semalam.

Beliau memang ada hadir di masjid tersebut semalam untuk mengerjakan solat Jumaat dan mengakui memberi ucapan ringkas selepas dijemput pihak masjid untuk berbuat demikian.

“Saya tiba di masjid kira-kira pukul 1 tengah hari untuk solat Jumaat, kira-kira 20 minit sebelum azan, saya kemudiannya dijemput oleh Imam untuk memberikan sedikit tazkirah kepada para jemaah.

“Saya hanya bercakap selama 10 minit dan apa yang paling utama saya sentuh adalah sama-sama melakukan kebaikan,” katanya ketika dihubungi.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah, turut menegaskan dirinya sentiasa maklum mengenai larangan dan tahu mengenai adab ketika berada di tempat ibadah tersebut.

“Saya sudah berpolitik lebih kurang 35 tahun, saya tahu adab dan batas. Saya juga tidak bodoh sampai nak memberi ceramah politik dalam masjid,” katanya. - UTUSAN ONLINE