Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, antaranya ialah menteri kabinet yang datang ke sini sebagai pemimpin kerajaan dan penganjuran majlis makan secara percuma.

Katanya, menteri yang datang ke sini sepatutnya atas kapasiti pemimpin politik dan tidak mengumumkan apa-apa pemberian yang mewakili kerajaan.

"Tetapi, ini semua tidak ada dalam undang-undang pilihan raya sedia ada dan aduan polis perlu dibuat oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.

"Ia tidak berlaku secara berleluasa seperti kerajaan sebelum ini kerana saya telah bertanya kepada ramai pihak di sini dan mereka kata tidak berlaku," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, ERC telah menghantar 11 orang pemerhati terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai sekretariat jawatankuasa itu sejak hari penamaan calon pada 29 September lalu hingga esok.

"Kami mengambil maklum bahawa terdapat kekangan di pihak SPR dalam menjalankan tugas seperti mana yang dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Oktober lalu.

"Adalah jelas bahawa SPR tidak mempunyai kuasa, secara persendirian, untuk menyiasat pelanggaran peraturan pilihan raya seperti dakwaan salah guna kemudahan kerajaan dam pemberian hadiah kepada pengundi," ujarnya.

Tambahnya, isu itu menjadi salah satu perkara yang sedang dikaji oleh ERC dan satu bentuk pembaikan akan dimasukkan dalam cadangan jawatankuasa itu agar SPR diberi kuasa lebih luas dan badan itu menjadi pengurus pilihan raya yang mendapat keyakinan masyarakat.

Ab. Rashid memberitahu, terdapat perubahan besar berlaku dalam PRK selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu antaranya semua calon yang bertanding mempunyai akses lebih luas seperti menyewa kemudahan dewan tanpa dihalang pihak tertentu.

Selain itu, jelasnya, liputan media kali ini menyaksikan semua calon mendapat ruang lebih baik sama ada media elektronik atau cetak. - UTUSAN ONLINE