MOHD. AMAR NIK ABDULLAH

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jika sikap dan pendirian Dr. Mahathir berubah, Pas mungkin diberi laluan untuk meneruskan usaha membahaskan rang undang-undang tersebut di Parlimen.

“Kita tengok dulu keadaan dan perkembangan, kalau perlu, mungkin akan ada pertemuan dengan Kerajaan Pusat bagi membincangkan perkara ini. Setakat ini kita dimaklumkan (RUU 355) tiada dalam senarai (aturan dewan).

“Kalau beliau (Dr. Mahathir) tidak setuju, maka balik asal, dulu pun beliau tidak setuju, sama sahaja. Kita harap Dr. Mahathir berubah, sebab air sungai boleh berubah, pantai berubah, tebing berubah, kita harap beliau pun boleh berubah juga,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai sesi pagi sidang Dewangan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Terdahulu ketika sesi soal jawab, Datuk Mohd. Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) menerusi soalan tambahan membangkitkan perkara berkaitan RUU 355 yang dilaporkan tidak akan dibahaskan dalam Parlimen.

Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang juga Ketua Pembangkang pula mencadangkan kerajaan Pas Kelantan ‘menduga’ pendirian Dr. Mahathir dengan mengadakan rundingan baharu berkaitan RUU 355.

“Tak boleh ke kali ini, kita ‘test’ Perdana Menteri ketujuh (Dr. Mahathir), kita buat apa yang kita boleh buat dan kita tengok apa mereka (Kerajaan Pusat) boleh lakukan.

“Kita yakin rakyat bersama-sama kita untuk melihat sesuatu yang baik mengenai Islam,” katanya.

Sebagai jawapan balas, Pe­nge­rusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, pihaknya optimis Kerajaan Persekutuan akan memberi laluan.

“Dulu masa kita luluskan Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, Dr. Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri keempat memberi amaran supaya perkara tidak diteruskan.

“Namun, apabila beliau jadi Perdana Menteri ketujuh, saya melihat sikap itu boleh berubah. Dulu dia menafikan hak royal­ti Kelantan, namun kini beliau menyatakan kesanggupan untuk membayar. Harap sikap ini (terhadap RUU 355) boleh berubah­lah,” katanya.