Rubiah memperoleh sebanyak 25,070 undi, dua pencabarnya Sopian Julaihi (PKR) memperoleh sebanyak 8078 undi manakala Zulkipli Ramzi(PAS) memperoleh 2719.

Kemenangan Rubiah diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Ainie Wahab di Pusat Pengiraan Undi di Dewan Suarah, di sini sebentar tadi.

Rubiah ternyata terharu dengan sokongan pengundi BN untuk mengekalkan kemenangan BN di kerusi Parlimen Kota Samarahan.

"Kemenangan BN di kerusi Parlimen Kota Samarahan ini adalah kemenangan kita bersama.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi, keluarga, ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan ini, jentera parti BN Dewan Undangan Negeri(DUN) Muara Tuang, Asajaya dan Stakan yang telah bekerja keras membantu kemenangan besar BN di sini," ujarnya.

Katanya, kerjasama padu daripada semua telah memastikan kemenangan hebat BN Parlimen Kota Samarahan.

Pada PRU-13 Rubiah memperoleh 24,202 undi menang dengan majoriti undi 17,401 menewaskan calon PAS Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang memperoleh undi 6,801. - UTUSAN ONLINE