Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, program Rejimen Junior dan Junior Plus bukan sekadar bergerak dari rumah ke rumah menyantuni pengundi tetapi antara rakyat dan wakil-wakil rakyat dan pihak-pihak berkuasa.

“Melalui gerak kerja ini, seperti yang dibicarakan oleh Menteri KPDNKK, sektor swasta tidak lepas tangan kepada kerajaan dalam berdepan dengan isu kos sara hidup, inisiatif dan insentif untuk membantu rakyat.

“Majikan swasta boleh kurangkan pekerja tidak terlatih dari luar negara yang dibayar gaji rendah. Diganti dengan pekerja tempatan yang gaji lebih tinggi. Ini menjana ekonomi rakyat seiring dengan pembangunan negara,” kata Sharizat semasa membuat ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berakhir hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO kali Ke-71 ini juga merupakan perhimpunan ‘terakhir’ sebelum tarikh keramat PRU14 diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sharizat juga berkata, perhimpunan kali ini umpama perkampungan bangsa yang penuh dengan roh dan semangat, seolah-olah ‘pulang ke kampung’ di Kuala Lumpur.

“Kehadiran pemerhati yang ramai sebagai tanda sokongan kepada presiden dan timbalan presiden parti. Janji Wanita, kerusi akan dimenangi berganda pada pilihanraya ini,” katanya.

Tambah beliau, rakyat Malaysia hanya ada dua pilihan sama ada Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kembali menjadi Perdana Menteri atau pun nauzubillah, pembangkang.

Sehubungan itu, Sharizat dengan penuh semangat berkata, berbekalkan kesetiaan kepada pemimpin dan penyokong semasa susah dan semasa senang, mengikut arahan dan perkhidmatan untuk rakyat, perang pilihanraya adalah perang kita semua untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara. - UTUSAN ONLINE