Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, untuk merubah sesebuah masyarakat merupakan suatu proses dan memerlukan komitmen, azam dan tekad daripadan pihak kepimpinan.

“Sekarang ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menunjukkan satu kepimpinan yang cukup kuat untuk mengangkat semula Malaysia sebagai sebuah negara yang bermaruah.

“Ianya (usaha tersebut) harus mendapat sokongan daripada jemaah Menteri dan Pakatan Harapan agar dasar-dasar dan manifesto yang kita janjikan itu dapat dilaksanakan secara tertib, teratur dan dalam keadaan sempurna,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Bual Bicara Muafakat bersamanya yang turut dihadiri para anggota PKR Melaka di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban di sini malam ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Dr. Afif Bahardin dan Timbalan Ketua PKR Cabang Jasin, Azmi Khamis.

Sementara itu, Mohamed Azmin menjelaskan, setiap pejuang dalam PKR harus memahami bahawa konsep dan prinsio reformasi itu adalah jelas iaitu menggerakkan seluruh kekuatan rakyat untuk menuntu sebuah kerajaan yang adil serta dapat memberi kemakmuran kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

“Dan rakyat telah pun memberikan sokongan serta mandat itu, maka dalam fasa yang kedua ini adalah pelaksanaan kata-kata kita yang mahu melakukan perubahan, dan dalam tempoh 100 hari ini, byk perkembangan positif yang telah kita lakukan.

“Pertama kita telah menjamin bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu akan bertindak secara adil dan saksama tanpa campur tangan politik ataupun eksekutif.

“Kita juga telah memberikan kuasa kebebasan kepada Pejabat Ketua Audit Negara supaya Jabatan Audit Negara boleh melakukan audit kepada semua kementerian, jabatan dan agensi tanpa campur tangan pihak eksekutif,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menolak dakwaan bahawa Pakatan Harapan kini sedang mengumpan beberapa pemimpin UMNO untuk menyertai mereka.

“Sekali lagi Perdana Menteri telah menegaskan, bahawa tidak ada sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO. Kita tidak membenarkan kerana rakyat akan bangkit dan marah kepada Pakatan Harapan.

“Sekiranya mereka berminat untuk bersama Pakatan Harapn, mereka harus melepaskan jawatan daripada UMNO dan harus meninggalkan parti yang rosak itu dan mestilah melalui satu proses untuk memastikan mereka memahami ideologi dan prinsip-prinsip dalam Pakatan Harapan,” katanya. - UTUSAN ONLINE