Oleh itu, katanya, kos bagi setiap kilometer bagi membina ECRL itu sudah tentu perlu mengambil kira cabaran-cabaran tersebut.

“Hari ini, Perdana Menteri berkata, terdapat syarikat tempatan yang boleh membina ECRL pada kos RM10 bilion sahaja. Bagi jarak 688 kilometer, ia bermasuk kos hanya RM14.5 juta bagi setiap kilometer.

“Adakah harga ini realistik jika dibandingkan dengan projek-projek lain? Kos projek berbeza ketara berdasarkan kepada spesifikasi terowong, jambatan dan stesen,” katanya menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata, terdapat pihak bersedia membangunkan projek ECRL pada kos serendah RM10 bilion.

Tidak menamakan pihak berkenaan, Dr. Mahathir menjelaskan, kerajaan sudah tentu menimbangkan pilihan yang lebih murah kerana ‘tidak cerdik’ kalau tidak menghiraukannya.

Dalam pada itu, Najib turut menjelaskan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa angka RM81 bilion untuk membina ECRL itu adalah termasuk kos faedah dan operasi.

“Ia diibaratkan seperti membeli kereta pada harga RM55,000, kemudian memasukkan kos minyak, kos sewa beli, kos penyelenggaraan, kos insurans sepanjang hayat kereta itu dan cakap kos kereta itu ialah RM81,000.

“Apabila negara lain mengumumkan tentang projek rel masing-masing, mereka tidak memasukkan kos faedah dan operasi seumpama itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE