Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencalonan Ramli, iaitu bekas pegawai kanan polis dapat diterima oleh pengundi semua kaum di sini selain menarik pengundi dari masyarakat Orang Asli yang mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi keseluruhan.

Menurutnya, malah Ramli merupakan calon yang tiada apa-apa masalah daripada rakan-rakan komponen BN kerana walaupun Cameron Highlands kerusi tradisinya kerusi MIC, namun parti itu berjiwa besar demi kemenangan BN.

“Jentera parti perlu bekerja keras dan kita akan meyakinkan pengundi bahawa calon kita adalah calon yang amat baik. Setelah kita teliti beberapa nama (calon), maka kita dapati Ramli calon sempurna yang senang untuk diperkenalkan pada pengundi, apatah lagi beliau anak tempatan.

“Ini kali pertama daripada suku kaum Orang Asli yang diberikan kepercayaan untuk bertanding dalam kerusi Parlimen dan jika menang beliau akan menjadi Ahli Parlimen dari masyarakat Orang Asli.

“Di sinilah pentingnya supaya suara dan apa sahaja isu yang dihadapi kaum Orang Asli diutarakan melalui Ahli Parlimen. Dengan peratusan pengundi Orang Asli sebanyak 22 peratus, saya yakin rakan-rakan daripada Orang Asli, yang mana Ramli berasal dari sini dan ayahnya juga dari sini akan dapat disokong oleh rakan-rakan pengundi Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata di sini hari ini.

Menurut Mohamad, adalah penting untuk BN menang kerana Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi parti itu dan ini perlu dipertahankan.

Kata beliau, BN kalah dalam empat PRK iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong serta Parlimen Port Dickson tetapi ia adalah kerusi Pakatan Harapan (PH).

“Mahu tak mahu, kita mesti bekerja kuat dan bertungkus lumus untuk pastikan calon kita menang dan saya harap calon dan jentera parti akan menemui seramai mungkin pengundi-pengundi supaya mereka dapat kenal calon yang kita perkenalkan ini,” katanya.

Menurutnya, BN tidak hanya akan menumpukan kempen di DUN Jelai sahaja walaupun BN memiliki kerusi DUN Jelai kerana ia kerusi BN dan Menteri Besar.

“Kita mesti ambil pendekatan yang serius supaya kita tidak tertinggal sesiapa pun. Kita kena buat semua kerja di semua 39 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah diletakkan ‘bapa angkat’ yang akan berjumpa dengan setiap orang agar tiada yang rasa tertinggal atau tidak dihargai,” katanya. - UTUSAN ONLINE