Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu tidak datang bergolek tanpa usaha bersama jentera dari seluruh pelosok negara demi memastikan kemenangan seorang pemimpin yang disanjungi rakyat khususnya di Negeri Sembilan.

“Sesungguhnya, kemenangan ini bukan bermakna perjuangan kita sudah selesai malah masih panjang dan suara rakyat harus kita utamakan serta perjuangkan setiap masa,” katanya di sini malam ini.

Wan Rosdy mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang masih memberi kepercayaan kepada Mohamad atau ‘Tok Mat’ sebagai wakil rakyat di kerusi berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada seluruh kepemimpinan, ahli-ahli dan jentera Pas yang bersungguh-sungguh membantu memastikan kemenangan BN.

“Semoga permuafakatan erat UMNO dan Pas dapat diteruskan demi kelestarian umat Islam dan Melayu tanpa mengetepikan kaum-kaum lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE